Tuesday, 23 June 2009

Liku liku kehidupan ....

Kisah ini berlaku lebih kurang lapan tahun yang lalu tapi masih segar dalam ingatan saya! Pada pagi itu, semasa saya sedang bersarapan disebuah restoran India dkt Tmn Tun tiba tiba datang sepasang suami isteri yang agak berumur menghampiri meja di sebelah saya! Masih saya ingat wanita tersebut berbaju kurung berwarna ungu dan berkain tudung nipis! Wajah keibuannya begitu terserlah, kelihatan manis sekali dengan senyumannya! Dari segi penampilan wanita tersebut saya dapat mengagak bahawa mesti dia seorang yang berkedudukan! Sebaik mereka duduk, tiba tiba saya lihat wanita tadi mengesat ngesat air matanya! Makin lama makin banyak air mata yang mengalir dipipi wanita tersebut! Saya pulak seolah olah terpanggil untuk menegur wanita tersebut ( which i dont know why)! "Aunty tak sihat ke?" tanya saya! Dia menoleh kearah saya lalu tersenyum dan terus menghulurkan tangannya untuk bersalam dengan saya! "Aunty sihat cuma sedih saja" jawabnya perlahan! Saya ingat perbualan itu berakhir disitu tapi rupa rupanya dia mahu bercerita panjang dengan saya! Suami beliau yang duduk dihadapan beliau sekali sekala merenung wajah isterinya dan menggeleng geleng kepala!

Wanita tadi terus bercerita tentang apa yang berlaku dan saya mendengar dengan penuh minat dan simpati! Mereka berdua baru sampai dari JB sehari sebelum tu dan menginap dirumah anak lelaki kesayangan mereka! Saya masih ingat apabila dia menggunakan perkataan 'anak kesayangan' setiap kali bila dia menyebut tentang anak nya. Katanya anak lelakinya itu memang rapat dengannya sebab dia adalah anak bongsu dari 3 beradek! Semasa dia menuntut di luar negara, kerap lah si ibu ini melawatnya kerana tak sanggup berjauhan! Pernah satu ketika katanya semasa di luar negara, si anak tadi demam tapi ibunya yang berada disini dapat merasakan! Katanya lagi kalau anak nya dalam kesusahan atau kesedihan sekalipun, dia boleh tahu, itulah naluri seorang ibu! Hebat naluri ibu ini kan! Sebab itulah dia dan suami bergegas ke Kuala Lumpur kerana dapat merasakan seperti ada sesuatu yang berlaku! Semenjak anak lelakinya berkahwin dan berpindah ke Kuala Lumpur, mereka jarang bertemu dan hanya panggilan telefon untuk menghilangkan kerinduan.

Alangkah terkejut si ibu tadi apabila sampai saja kerumah anaknya, si anak tadi menyambut kedatangan mereka dengan 'dingin' sekali! Rupa rupanya si anak tadi sedang membasuh pakaian isterinya! Bukan itu saja disuruh kedua orang tuanya untuk tidak berbuat bising kerana si isteri baru balik dari kerja dan masih tidur! Saya di beritahu menantunya seorang peramugari! Memandangkan perkahwinan mereka adalah pilihan sendiri, maka si ibu tadi pasrah walaupun katanya dari awal lagi dia memang tak berapa berkenan dengan pilihan anak nya itu! Tentu lah perasaan si ibu tadi sayu dan sedih kerana anak kesayangan nya itu yang dibesarkan dengan penuh kasih sayang, dididik dengan adat dan sopan kini sudah berubah! Sebelum berkahwin makan pakainya terjaga, kehidupannya teratur tapi setelah berkahwin keadaan menjadi sebaliknya! Air mata wanita ini semakin deras mengalir dan begitu menyentuh hati saya! Saya pegang tangannya dan cuba memujuk agar dia banyak banyak bersabar! Dalam tangis sendunya itu sempat dia bercerita yang dia terdengar perbualan anak dan menantunya yang seolah olah mereka tidak senang dengan kehadiran mereka berdua! Si menantu enggan melayan mertua dengan alasan terlalu penat bekerja dan menyuruh suami membawa kedua orang tuanya untuk makan di luar! Baru lah saya tahu kenapa wanita itu kelihatan sungguh sedih walaupun saya bukan berada didalam keadaan itu tapi saya dapat merasakan kepiluan dan kekecewaannya!

Pagi itu kata wanita itu selepas selesai solat subuh, kedua duanya meninggalkan rumah tersebut! Kerana begitu kecewa, dia langsung tidak memberitahu yang mereka akan balik ke JB pada pagi itu! Walaupun ketika itu saya tidak layak untuk memberi sebarang nasihat tapi saya yakin wanita tersebut berasa lega kerana dapat meluahkan perasaanya! Sebelum berpisah dia sempat memeluk erat tubuh saya dan berkali kali mengucapkan terima kasih kerana katanya saya sudi mendengar ceritanya! Siapa pun dia (kami berdua tidak sempat memperkenalkan diri), saya amat simpati dengan apa yang dia lalui! Perkenalan sesingkat itu meninggalkan kesan yang mendalam sehinggakan saya masih mengingati beliau hingga ke hari ini! Dalam hati ini mendoakan agar wanita itu tabah dan dapat menyelesaikan masalahnya sebaik mungkin dan buat anak lelakinya ( saya tidak kenal siapa anda!) semuga anda sempat memohon ampun dan maaf sebelum terlambat kerana anda telah melukakan hati seorang ibu! Adakalanya saya tertanya tanya apa kesudahannya cerita anak beranak ni ya! Saya doakan yang terbaik buat mereka semua!

Sudah lapan tahun peristiwa ini berlalu. Mungkin anak lelaki nya sudah beranak pinak. Bagaimana kehidupan mereka sekarang agak nya? Dalam hati kecil ini berharap agar segala kekusutan dan kekeliruan telah dapat diselesaikan dengan baik! Tertanya tanya juga samada wanita itu masih ada dan berharap suatu hari kami dapat bertemu lagi!

Kini anak anak saya sudah dewasa dan pasti satu hari nanti mereka juga akan berumahtangga! Suami pernah memberitahu agar tidak terlalu mengharap pada anak anak dan sebolehnya saya pun begitu! Kami berdua hanya mampu berdoa agar anak anak akan sentiasa menyayangi kami! Kehidupan ini penuh dengan suka duka dan kita tidak dapat lari dari realiti kehidupan yang sebenar! Kita hanya mampu berdoa dan selebihnya hanya Allah yang menentukan! Bukan niat untuk mengaibkan sesiapa kerana siapa lah saya untuk menilai semua ini! Saya juga manusia yang lemah, yang banyak kekurangan dan masih banyak yang perlu saya lalui!

No comments: