Monday, 28 December 2009

28hb Disember 2009 - Terima Kasih Ya Allah

Alhamdulillah, pada hari ini saya masih sempat menghirup udara Mu yang terus memberi saya nafas kehidupan buat tahun yang ke 48! Teramat bersyukur pada usia begini, saya masih dilimpahkan dengan kasih sayang Mu yang tiada dapat saya balas selain amal dan pujian kepada Mu, Tuhan yang Maha Esa!

Ya Allah, sekiranya saya masih boleh meneruskan kehidupan yang sedikit ini, saya pinta dan berdoa semoga terus dilimpahkan hidayah agar dapat saya memperhambakan diri kepada Mu. Sesungguhnya Kau Maha Mengetahui akan perjalanan hidup ini!

Ya Allah, peliharalah kesihatan hamba Mu ini, supaya jasad ini dapat terus melakukan tugas yang telah diamanahkan. Halakan lidah dan perbuatan ini supaya dapat saya teruskan penghambaan ini dengan cara yang terbaik sesungguhnya Kau Maha Mengetahui mengapa saya diciptakan dan meletakkan saya di tampuk ini. Wallahualam ..

Ya Allah, betapa syukurnya saya kerana Kau masih terus pesan pesan sayang Mu pada mereka2 yang rapat dengan saya supaya terus memgingatkan saya seandainya saya lalai dalam amal, dalam ibadat, dalam kewajipan, dalam suka dan duka dan dalam menggalas tanggungjawab terhadap Mu. Kau telah menganugerahkan kepada saya saudara2 yang sentiasa bersama dalam waktu senang dan susah, pada waktu tawa dan nangis!

Kerana kasih Mu Ya Allah, Kau telah berikan pada saya kelebihan limpah rahmat Mu, supaya langkah yang saya atur ini tidak pincang supaya ada yang dapat menegur keterlanjuran, keegoan dan kealpaan hamba Mu!

Ya Tuhan ku, selama 48 tahun, Kau bentuk diri ini dan semua yang baik datang dari Mu, dan yang buruk dari diri sendiri. Bersyukur kepada Mu kerana masih berpeluang lagi meminta ampun daripada Mu!

Ya Rahman Ya Rahim, Alhamdulillah dengan nikmat rezeki yang telah kau limpahkan! Biar sekecil mana habuannya saya masih tetap bersyukur atas pemberian Mu! Jangan digelapkan mata ini untuk rezeki yang bukan milik kami! Ringankan tangan hamba ini untuk memberi, untuk menghulur dan untuk menderma. Halakan selera ini untuk yang halal dan bukan yang diharamkan dan dilaknati!

Ya Allah, jadikan lah mata ini untuk menjadi saksi kepada semua kesilapan dan kelemahan agar dapat di tebus sebelum ia menjadi kabur dan tutup buat selamanya ..

Ya Allah peliharalah kata kata supaya yang diucap bakal jadi ubat, yang ditutur bakal jadi penawar, yang diluah bakal jadi madu dan yang dikatakan bakal jadi perindu. Doa dari hamba Mu agar kasturi janji Mu menjadi penyegar nafas ini ..

Ya Wahid! Pada usia yang selewat ini, saya masih dibenarkan untuk menghayun tangan ini dan akan digunakan untuk mengangkat kelangit memohon syafaat Mu!

Ya tuhan pencipta sekalian alam! Ampunkan dosa2 saya yang kian tahun kian menggunung agar mendapat keampunan Mu sebelum saya menghadap Mu.

Kepada insan2 yang saya berhutang kemaafan, ampun kan saya jika saya pernah melukai, mengguris dan menyakiti hati kalian ..

Biar esok saya dilahirkan semula supaya bersedia untuk dikembalikan, Amin!!

No comments: